“Alhamdulillah….!”
Bersujud syukur setiap hamba Allah yang menghargai sebuah keadilan.
Keadilan yang menjadi tunggak sesebuah kuasa. Mengkhianatinya akan mengheret kejatuhan sebagai hukum Alam sebelum hukum Agama.
Tanggal bersejarah 11 Februari ’11, Omar Suleiman membuat pengumuman perletakan jawatan Presiden Republik Arab Mesir keempat, Muhammad Hosni Sayyid Mubarak selepas tiga dekad pemerintahannya.
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal 'Imraan 3: 26]
18 hari rakyat Mesir berhimpun di Dataran Merdeka Kaherah, tegas dengan satu tuntutan.
Pelbagai insentif ditawarkan oleh Hosni Mubarak, memecat kabinet dan melantik Perdana Menteri yang baru, malah buat pertama kalinya mewujudkan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh anak didik CIA kesayangannya, Omar Suleiman, segalanya ditolak dengan aman oleh seluruh rakyat. Mereka hanya mahukan satu.
Hosni Mubarak meletakkan jawatan!
Tidak berganjak walaupun sedikit, selepas buat pertama kalinya umat Islam di Mesir bersolat Jumaat dengan 2 juta makmum dan satu imam, malam yang bersejarah ini, melaporkan bahawa Hosni Mubarak meninggalkan Kaherah dan beredar ke Sharm Sheikh di Sinai, dan Omar Suleiman mengumumkan perletakan jawatan Taghut besar itu.
Moga tertebus kepedihan yang ditanggung oleh rakyat yang diseksa.
Moga terubat tahanan-tahanan pendapat (prisoners of opinion) di penjara Mesir.
Moga sembuh al-Azhar daripada campur tangan regim.
Moga terbuka jalan pulang Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ke bumi Kinanah.
Moga terawat kerinduan Sheikh Kamal Helbawi yang lama berkelana di bumi Eropah.
Moga sirna kepungan derita umat di Gaza dan Palestin.
Moga bermakna 12 Februari 2011 pada mengenang terbunuhnya pengasas al-Ikhwan al-Muslimin, Hassan al-Banna pada 12 Februari 1949.
Segalanya, ameen untuk semua itu!
TELADAN REVOLUSI TUNISIA
Mesir mengambil teladan yang amat penting daripada mesej yang dilontarkan oleh Revolusi Tunisia.
Sheikh Rashid Ghanushi, pemimpin al-Nahdhah yang kembali ke tanah air selepas 20 tahun dalam buangan, memberikan pendapat bahawa sebuah revolusi rakyat tidak boleh berlaku jika ada mana-mana parti yang cuba mendominasinya dengan slogan masing-masing. Seluruh rakyat mesti bersatu pada menuntut pengunduran regim zalim yang memerintah. Ia mesti bersifat gerakan rakyat. Bukan an-Nahdhah, bukan mana-mana parti.
Itulah wajah Revolusi Mesir.
Ia tidak didominasi oleh mana-mana parti, tidak juga oleh mana-mana pemimpin pembangkang.
Ia benar-benar sarat membawa kehendak seluruh rakyat yang menderita membayar 7 Pound untuk sebotol susu, ketika Presiden menghimpun harta mencecah USD70 billion, biar pun dia hanya manusia biasa yang kapasitinya mampu makan sekeping roti setiap pagi. Rakus, tamak dan kejam, rakyat sudah memainkan peranannya.
Al-Ikhwan al-Muslimun tidak bersikap simplistik pada membayangkan perjuangannya sebagai pengisi kekosongan yang berjaya diperolehi.
Mohamed Mustafa El-Baradei juga tidak memposisikan dirinya sebagai pemimpin rakyat Mesir pasca pengunduran Hosni Mubarak.
Justeru apakah masa depan Mesir?
MANUSIA YANG AMAN
Richard Mitchell di dalam bukunya The Society of Muslim Brothers membuat sedikit analisa menarik berkaitan dengan tabiat rakyat Mesir.
Pembunuhan Anwar El-Sadat pada 6 Oktober 1981 menggemparkan seluruh negara. Namun unik sekali, kejadian itu tidak mencetuskan revolusi. Apa yang menyusul kematian Anwar Sadat adalah sesuatu yang sangat aman. Yayasan-yayasan Islam terbentuk, ramai rakyat mula mendefinisikan jati dirinya sebagai Muslim dan Islamic Activism berkembang. Rakyat Mesir di peringkat marhaen yang terkenal dengan sifat agresif mereka, sebaliknya adalah rakyat yang komited dengan langkah-langkah aman untuk membentuk perubahan di negara yang diperintah secara hukum darurat oleh Hosni Mubarak ekoran pembunuhan Anwar El-Sadat itu.
Rakyat Mesir adalah rakyat yang komited dengan keamanan.
Inilah juga contoh yang ditunjukkan oleh demonstrasi aman jutaan penduduk Kaherah di Dataran Merdeka (Tahrir Square).
Biar pun ada usaha provokasi yang dibuat oleh jet-jet yang terbang rendah di awal kebangkitan, orang-orang upahan yang menimbulkan kacau bilau sambil menunggang kuda dan unta, serta 1001 usaha yang dilakukan oleh Hosni Mubarak termasuk usahanya mewujudkan rasa tertekan tertinggi apabila membuat pengumuman pada 10 Februari 2011 bahawa beliau tidak akan berundur, rakyat Mesir bertegas dengan tuntutan yang satu, dan mereka menuntutnya dengan AMAN.
Pastinya hal ini menjadi subjek yang diteliti oleh penduduk seluruh dunia.
Amerika Syarikat dan Eropah yang dilanda ‘Ikhwanphobia’, tidak berhasil setakat ini pada mencari sisi-sisi keganasan yang sering digembar gemburkan.
Islamist bukan pengganas.
Mereka adalah manusia yang berintegriti.
Integriti yang bertunjangkan ajaran yang aman, ISLAM.
Malah imej ganas golongan Islamist itu sendiri adalah projek panjang regim warisan Jamal Abd al-Naser ini.
Semoga Mesir berjaya membentuk kehidupan yang lebih baik selepas pengunduran bersejarah Hosni Mubarak.
Amerika Syarikat memerhati. Regim Zionis memerhati. Eropah memerhati. Seluruh dunia memerhati.
Akan tetapi berpeganglah dengan firman Allah:
“Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman “Jadilah engkau!” Maka ia terus menjadi.” [Yaasin 36: 82]
MUSNAHNYA KUASA MEDIA PERDANA
Namun saya gagal menyembunyikan rasa gembira yang amat sangat secara khusus terhadap Radio Televisyen Mesir.
Media dokongan regim Hosni Mubarak itu yang selama ini bertindak sebagai alat propaganda, menyembunyikan keadaan sebenar Mesir yang bergolak, mempotretkan baik hatinya Hosni Mubarak pada mendahulukan rakyatnya dengan pelbagai reformasi dan insentif serta tidak henti-henti mencela TV Satelit (Al-Jazeera secara khusus), Facebook, Twitter, Blog dan internet sebagai petualang negara yang sengaja menimbulkan salah tanggap masyarakat terhadap kerajaan yang memerintah…
Akhirnya Media itu jugalah yang menjadi platform Omar Suleiman mengumumkan kekalahan Hosni Mubarak!
Jamal Abd al-Naser tumbang oleh ‘racun’.
Anwar El-Sadat tumbang oleh peluru.
Hosni Mubarak tumbang oleh Facebook dan Twitter.
Media Perdana bukan lagi ‘tuhan’ yang menguasai pendapat umum.
Semoga iktibarnya diteladani dengan bijaksana oleh semua.
Malam ini, kita semua adalah Misri!
p/s:cuti sampai bila? : )